Selasa, 2 Disember 2008

CINTA DAN PENGORBANAN



“Allah telah memilihku sebagai seorang khalil, sebagaimana Dia telah memilih Ibrahim sebagai seoarang khalil”… pesanan Nabi SAW telah hubungan cinta agung antara seorang Rasul bernama Muhammad dan juga Rasul yang terdahulu, Ibrahim, kepada Kekasih yang Maha Pengasih, Allah ‘Azza Wa Jalla.

Khalil bukan kekasih biasa. Khalil dengan cintanya yang disebut khullah, adalah cinta pada kesempurnaan Esa dan Cinta. Dalam cinta yang bernama Khullah itu tiada yang dua.

Cinta biasa adalah cinta antara al-habib dan al-mahbub, dengan cinta yang bernama al-hubb. Tetapi khullah antara khalil adalah cinta tinggi yang tidak boleh dikongsi. Kerana ini Nabi SAW telah bersabda,
“Kalaulah aku ingin mengambil dari kalangan manusia itu seorang khalil, nescaya akan kuambil Abu Bakar sebagai khalilku. Akan tetapi sahabatmu ini (yakni Rasulullah SAW) adalah khalil kepada Allah SWT”

Di sinilah titik besar pada cinta dan pengorbanan.
Terdahulu dari itu, Ibrahim ‘alayhi al-salaam juga diangkat sebagai khalil bagi Allah SWT. Namun cinta Ibrahim kepada Tuhannya semacam teruji dengan kehadiran seorang cahaya mata yang telah sekian lama ditunggu, Ismail. Setelah lanjut usia dan lama hidup tanpa zuriat, kehadiran Ismail, anaknya bersama si isteri, Hajar, telah meragut sedikit ruang hati yang sebelum ini tepu dengan cinta tinggi kepada Allah SWT.

Lalu Allah menguji.
Apakah kehadiran Ismail dalam hidup Ibrahim telah mengubah cintanya kepada Dia?
Ibrahim diuji… pada perintah menyembelih anaknya sendiri! Seorang bapa diperintahkan meletakkan senjata tajam di tengkuk anak yang selama ini dijaga penuh kasih, jauh dari duri dan bahaya kehidupan.

“Teruskan ayahanda, nescaya engkau akan dapati aku ini dari kalangan mereka yang sabar”, seru Ismail kepada ayahandanya. Seruan yang juga bukan calang-calangnya. Keyakinan yang datang juga dari cinta dan taat yang tinggi kepada-Nya.
Setelah jazam niat dan azam Ibrahim, terbuktilah cintanya kepada Allah tidak tergugat dengan kasihnya sebagai seorang ayah kepada si anak bernama Ismail. Perintah menyembelih Ismail, digantikan dengan binatang ternakan yang seterusnya menjadi sunnah amalan seluruh ummah selagi mentari masih menyinar, selama mana bulan bercahaya, hingga akhir zaman.

Itulah kesimpulan Abu al-’Izz dalam Syarah al-Aqidah al-Thahawiyyah, tentang cinta al-Hubb dan al-Khullah… bahawa pengorbanan, hanya bisa berlaku kesan cinta yang mendalam. Dan cinta hanya terbit dari iman yang hidup di dalam jiwa.
Memberi dan berkorban… adalah manifestasi cinta dan kasih. Tanpa kasih, memberi itu pahit, berkorban itu suatu penyeksaan.

BESARNYA NILAI CINTA

Kesanggupan al-Ansar untuk berkorban demi saudara mereka al-Muhajirin, dirakamkan oleh Allah SWT di dalam surah al-Hashr:
“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka Dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya” [Al-Hashr : 9]

Memberi dengan sepenuh hati, mengutamakan saudara lebih dari diri sendiri. Biar pun diri tidak sesenang mana, bak kata pepatah Melayu, hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah.

Masyarakat Madinah adalah masyarakat yang sayang menyayangi. Masyarakat yang sudah menjadi kebiasaannya untuk memberi. Melebihkan saudara mengatasi diri sendiri, malah serendahnya pada berlapang dada.

Semuanya hasil cernaan aqidah yang ditarbiyah di sepanjang era Makkah. Aqidah yang membuang rasa tinggi di kalangan sesama abdi, sesama hamba yang sama di sisi yang Esa. Bukan aqidah hafalan, bukan aqidah ilmuan, tetapi aqidah yang menempa peribadi mencorak jiwa.

Jiwa hamba…
Iaitulah jiwa seorang mukmin yang sedar siapa dirinya di depan Dia. Yang sujud menghina diri, tinggi harap bergantung kepada-Nya. Jiwa hamba yang membunuh mazmumah kelakuan dan kata, kerana kebesaran hanya layak menjadi pakaian Dia.
Kerana melatanya jiwa kehambaan, mereka berjaya dipersaudarakan. Dan di atas binaan ukhwwah itulah tertegaknya Syariat Allah.

DI HENING ZAMAN
Mampukah kebangkitan Islam di hening zaman ini ditampung beban dan cabarannya, jika tiada terbina perasaan kasih sayang bagai Muhajirin dan Ansar?
Mampukah lahir perasaan kasih sayang itu di hening zaman ini, jika bangkit semangat Islam hanya dengan ilmu pengetahuan, tanpa terbit jiwa kehambaan?
Ya Allah… hancurkanlah perasaan DIRI di dalam diri ini, agar terbening kerdil diri, terserlah agung-Mu sebagai Ilah… Ameen…
ABU SAIF @ www.saifulislam.com